Pop-up WhatsApp Takaful
WhatsApp
Skip to main content
Hukum Tambah Niat Puasa
June 3, 2025 at 4:00 PM
img_0485.webp

Soalan: Kalau kita dah niat puasa lain tapi ada puasa lain (contoh la puasa isnin khamis tapi ada puasa bulan 6 syawal) , boleh ke nak tambah niat puasa tu?

Jawapan: Alhamdulillah segala puji bagi Allah atas segala nikmat yang Allah telah kurniakan pada kita semua sehingga pada hari ini. Terima kasih kepada saudara atas soalan yang diajukan.

Baik, secara umumnya yang paling terbaik dan keluar daripada khilaf adalah mengasingkan niat dan tidak menambahkan niat atau menggabungkan niat dalam sesuatu perlaksaan ibadah sunat. Kerana kaedah umum fiqh menyebutkhan:

الخروج من الخلاف مستحب

Maksudnya: "Keluar daripada khilaf adalah dituntut."

Namun, tidak salah jika kita membincangkan isu ini secara terperinci supaya kita mendapat manfaat ilmu dan akan lebih yakin apabila mengamalkan sesuatu perkara.

Menggabungkan Dua Ibadat Dengan Satu Niat

Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadah dengan menggunakan satu niat) hukumnya:

1. Sah Jika Salah Satunya Adalah Wasilah (Perantara)

Sekiranya salah satu daripada dua ibadah itu adalah wasilah atau perantara kepada ibadah yang lain, maka menghimpunkan antara keduanya adalah sah dan kedua-dua pahala akan diperoleh, sekalipun hanya satu daripadanya diniatkan.

Contoh:

  • Seseorang yang mandi junub pada Hari Jumaat. Walaupun hanya berniat untuk mengangkat hadas besar, namun dia juga mendapat pahala mandi sunat Jumaat.

  • Seseorang masuk ke masjid dan terus menunaikan solat fardhu Zuhur. Maka solat itu juga menggugurkan tuntutan solat Tahiyyatul Masjid, walaupun tidak diniatkan secara khusus.

Huraian:

Gabungan seperti ini dibenarkan kerana salah satu ibadah itu adalah bersifat taba‘i (mengikut) atau termasuk dalam ibadah yang lebih umum, dan tidak berdiri sendiri sebagai ibadah yang wajib diniatkan dengan zatnya.

2. Tidak Sah Jika Kedua-duanya Diniatkan Kerana Zatnya

Sekiranya kedua-dua ibadah itu adalah ibadah yang berdiri sendiri dan masing-masing diniatkan kerana zatnya, maka tidak sah menghimpunkan niat bagi kedua-duanya dalam satu amalan, menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafi‘i.

Contoh:

  • Menggabungkan puasa qadha Ramadan dengan puasa sunat enam Syawal.
  • Menggabungkan puasa nazar dengan puasa Isnin/Khamis.

Huraian:

Dalam kes seperti ini, setiap ibadah mempunyai tuntutan dan keperluan niat yang tersendiri. Menggabungkannya akan menyebabkan salah satu atau kedua-duanya tidak sempurna. Oleh itu, gabungan ini tidak diterima sebagai sah.¹

Sebagaimana Kaedah Fiqh menyebutkan:

إذا اجتمعت عبادتان من جنس واحد، ليست إحداهما تابعة للأخرى، فلا يصح التشريك بينهما.

Maksudnya: “Apabila berkumpul dua ibadah dari jenis yang sama, yang mana salah satunya bukan mengikut (taba‘i) kepada yang lain, maka tidak sah menghimpunkan antara keduanya.”²

Ringkasnya, hukum menghimpunkan dua ibadah dalam satu amalan bergantung kepada jenis ibadah tersebut:

  • Jika salah satunya hanya sebagai perantara: Sah gabungan tersebut.
  • Jika kedua-duanya adalah ibadah yang berdiri sendiri: Tidak sah menurut pendapat yang muktamad.

Seterusnya, bagi mengaitkan perbahasan ini dengan soalan saudara, saya ingin sertakan beberapa situasi dan perbahasan hukum untuk saudara dan semua yang membaca artikel ini dapat memahami dengan lebih baik tentang perbahasan hukum ini.

Situasi 1: Jika puasa asal adalah sunat, dan puasa tambahan juga sunat:

Contoh: Seorang muslim berniat puasa sunat Isnin, kemudian selepas Subuh dia teringat bahawa hari itu juga tergolong dalam enam hari Syawal. Maka dia ingin “menyertakan” niat puasa 6 Syawal dalam puasanya.

Hukum: Tidak Sah niat tambahan tersebut.

  • Menurut mazhab al-Syafi‘i, setiap ibadah yang muqayyad (terikat dengan masa atau sebab tertentu) perlu diniatkan secara khusus sebelum ibadah itu bermula.³
  • Oleh itu, puasa tersebut dikira sebagai puasa Isnin, dan tidak dikira sebagai puasa 6 Syawal.

Kesimpulan bagi situasi 1: Niat tidak boleh “ditambah” selepas terbit fajar untuk menyertakan ibadah lain yang berlainan jenis niat dan tuntutannya.

Situasi 2: Jika puasa asal adalah sunat, dan puasa tambahan adalah wajib:

Contoh: Seorang wanita berpuasa sunat, kemudian baru teringat bahawa dia masih memiliki puasa qadha Ramadan.

Hukum: Tidak sah untuk mengubah atau menambah niat qadha selepas Subuh.

  • Puasa wajib memerlukan ta‘yīn (penentuan khusus) niat sebelum Subuh.
  • Maka puasa tersebut tetap dikira sebagai puasa sunat, dan tidak menggugurkan tanggungan puasa qadha.

Sebagaimana Kaedah Fiqh menyebutkan:

النية شرط لصحة العبادة، ويجب تعيينها في العبادات الواجبة

Maksudnya: “Niat adalah syarat sah ibadah, dan wajib ditentukan secara jelas dalam ibadah yang wajib.”

Dalam isu gabungan niat ini, ia kembali kepada perbahasan tasyrik fi al-‘ibadah. Sekiranya kedua-dua ibadah tersebut diniatkan sebelum terbit fajar, dan salah satunya bukan ibadah wajib, maka ulama ada khilaf sama ada ia sah atau tidak.

Namun, sekiranya niat kedua dimasukkan selepas ibadah bermula, maka menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafi‘i, tidak sah tasyrik tersebut dan niat tambahan tersebut tidak diiktiraf syarak.

Berdasarkan perbincangan di atas, jelas bahawa niat ibadah tidak boleh ditambah setelah ibadah dimulakan. Terutamanya, bagi ibadah-ibadah muqayyad dan wajib. Oleh itu, setiap ibadah perlu diniatkan secara jelas sebelum waktu perlaksanaanya bermula. Sebagai cadangan, mungkin ada beberapa perkara yang saudar boleh lakukan iaitu;

  • Rancang jenis puasa lebih awal dan pastikan niat puasa tersebut dilakukan sebelum Subuh.
  • Elakkan menggabungkan dua ibadah yang berdiri sendiri tanpa niat khusus yang dibuat pada waktunya.

Senarai Rujukan:

1. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3458-al-kafi-1275-bolehkah-niat-puasa-enam-dan-puasa-ganti-secara-serentak

2. Al-Suyuti, al-Ashbah wa al-Nazair, hlm. 23.

3. Al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, Jilid 1, hlm. 626.

4. Al-Zarkasyi, al-Manthūr fī al-Qawāʿid al-Fiqhiyyah, Jilid 1, hlm. 162.